Sejarah Penubuhan

1. PENGENALAN
Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia atau DARUSSALAM wujud hasil kesepakatan dan kerjasama yang erat diantara Urusan Ulamak PAS Kawasan Gombak dengan Pejabat ADUN Gombak Setia iaitu Ybhg.Ustaz Dato’ Ismail Bin Kamus pada awal tahun 2003 yang lalu. Menyedari betapa pentingnya kesinambungan ilmu perubatan Islam yang telah beliau amalkan selama ini, maka telah dihimpunkan semua golongan ilmu agama dan individu yang berminat untuk menyertai kursus perubatan yang pertama kali diadakan oleh beliau.
Kursus DARUSSALAM yang pertama telah diadakan pada 28-29 Januari 2003 yang telah dihadiri seramai hampir 35 orang peserta bertempat di Dewan Besar Pejabat Adun Gombak Setia di Taman Sri Gombak,Selangor. Kuliah kursus disampaikan sepenuhnya oleh Ybhg.Ustaz Dato Ismail Bin Kamus. Hasil daripada kursus yang pertama ini maka lahirlah generasi pertama perawat DARUSSALAM. Pada peringkat awal ini, hanya seramai 13 orang perawat yang berjaya menerima Ijazah Perubatan DARUSSALAM. Mereka inilah yang kemudiannya menjadi perintis kepada penubuhan resmi DARUSSALAM.
Setelah menjalani latihan praktikal perubatan bersama Ybhg.Ustaz Dato Ismail Bin Kamus bertempat di Pejabat ADUN dan MTD Gombak Setia, maka kesemua 13 perawat generasi pertama ini telah menerima Ijazah Perubatan DARUSSALAM pada 17 Julai 2003 yang telah dilangsungkan di Pejabat MTD Gombak Setia, Taman Gombak. Kesemua 13 perawat inilah yang seterusnya menjadi ahli jawatankuasa penaja yang telah dipengerusikan oleh Ust. Mohd Rozalie Bin Zahari dalam usaha mengembangkan aktiviti dan keahlian DARUSSALAM seterusnya.
Setelah hampir dua tahun generasi pertama lahir maka piahak ahli jawatankuasa penaja yang ada telah bersepakat untuk menganjurkan kursus DARUSSALAM kali kedua pada tarikh 27-28 Februari 2005 bertempat di kelab Century Paradise Taman Melawati. Kursus asas selama dua hari ini telah dihadiri seramai 83 orang peserta dari seluruh Malaysia.Majlis Konvokesyen DARUSSALAM kali kedua telah diadakan pada Julai 2005 bertempat di Dewan fadzil Mohd Noor Taman Melewar. Seramai 63 peserta yang berjaya memperolehi ijazah DARUSSALAM.
Hasil daripada gabungan kesemua ahli DARUSSALAM daripada generasi pertama dan kedua, maka akhirnya DARUSSALAM secara resminya telah berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan nama penuhnya “ PERSATUAN PERUBATAN ISLAM DARUSSALAM MALAYSIA”. Persatuan didaftarakan atas nama badan bukan kerajaan (NGO). Setelah berdaftar secara resmi, pihak ahli jawatankuasa penaja telah mengadakan Mesyuarat Agung DARUSSALAM kali pertama (Penaja) pada 4 Februari 2006 bertempat di Dewan fadzil Mohd Noor Taman Melewar dan telah dirasmikan pleh Ybhg.Ustaz Dato’ Ismail Bin Kamus iaitu Penasihat resmi kepada persatuan. Perhimpunan ini mencatat sejarah dengan kehadiran 49 peserta yang berdaftar yang seterusnya telah memilih sebuah jawatankuasa yang baru iaitu seramai 10 orang untuk menjadi tenaga penggerak persatuan.
